Tenaga apakah yang menggerakkan kehidupan?. Cinta dan kebencian. Kedua-dua
itulah yang mewarnai sejarah hidup manusia menjadi putih atau hitam. Kerana
cinta, Adam dan Hawa bersatu. Kerana cinta, Taj Mahal di India terbina. Dan
banyak lagi bukti di dalam dunia nyata ini betapa angungnya cinta itu.
Berawal dari cinta, cerita kehidupan diputar. Tapi sayang, sejak awal mula
kisah sejarah manusia ini, cinta telah dikotori oleh kebencian. Kebencianlah
yang menyebabkan Qabil membunuh Habil, sebuah tragedi paling tragis untuk
pertama kalinya dalam sejarah kemanusiaan. Pembunuhan manusia oleh manusia. Ya,
cinta dan kebencian pulalah yang saat ini kita saksikan
meramaikan drama
kehidupan. Dunia ini dipenuhi dengan kisah cinta yang begitu mempesona, juga
kisah kebencian yang sangat memilukan.
Cinta membuat dunia menjadi kelihatan 'hidup', damai, sejuk, indah, penuh
pesona. Sebaliknya kebencian menjadikan dunia ini nampak membujur kaku seperti
mayat, seperti perkuburan. Aromanya menyengat tak ubahnya bangkai. Bunga-bunga
menjadi layu. Setiap mata menatap penuh kekosongan, kesedihan dan kepiluan.
Cinta menawarkan titis-titis air yang sungguh menyejukkan. Setiap titisannya
menghidupkan jiwa yang gersang. Tiap titisannya adalah syurga. Kebencian
menyebarkan aroma darah, menitiskan air mata. Tiap titisnya membuat jiwa menjadi
gersang. Tiap titisnya adalah api, membakar kehidupan. Panas yang luar biasa.
Cinta menggerakkan kebaikan. Kebencian memunculkan kejahatan. Sejarah kebaikan
adalah sejarah cinta. Sejarah kejahatan adalah sejarah kebencian. Maka
tebarkanlah cinta di segenap penjuru dunia. Berjalanlah dengan cinta. Siramlah
setiap relung jiwa yang hampa dengan cinta, niscaya ia menjadi hidup dan penuh
pesona.
Pada tahun 1932 Albert Einstein menulis surat kepada Sigmund Freud untuk
bertanyakan pendapatnya. Antara kandungan suratnya berbunyi, Apa yang dapat
dilakukan manusia agar terhindar dari kutukan peperangan?
Pertanyaan itu muncul barangkali kerana dunia pada masa itu mash dihantui
oleh Perang Dunia Pertama yang mengejutkan manusia diseluruh eropah, justeru
akibat kerosakan dan penderitaan yang harus ditanggung oleh mereka. Sebagai
seorang yang mempunyai keahlian ilmu jiwa, Freud menjelaskan dalam surat yang
ditulis sebagai esei yang terkenal iaitu Why War (Mengapa Perang).
Dia menghuraikan tentang adanya dua insting atau lebih mudah disebut sebagai
sifat utama manusia iaitu insting Cinta dan insting Benci.
Insting cinta itu baik. Kerana manusia yang memiliki insting ini akan
mempunyai sikap positif dengan membawa kepada sikap peduli dan saling memberikan
kasih sayang. Ini mengandaikan adanya kepedulian terhadap hidup orang lain,
keselamatan, kesejahteraan dan kebahagiaan orang lain.
Namun begitu insting ini juga membawa sekaligus insting kebencian kalau sikap
cinta dan kasihnya terhadap orang lain disertai dengan niat memiliki kepada yang
dicintainya itu. Dengan itikad ingin memiliki itu, maka terjadilah penguasaan,
diktator dan penjajahan dari sipencinta kepada yang dicintai.
Dan kalau perasaan merasa tidak bebas dari yang dicintai ini memberontak,
maka terjadilah konflik. Dan konflik ini selalunya diakhiri dengan pemberontakan
dan saling mengadu kekuatan. Siapa yang kalah akan menjadi hamba dan siapa yang
memang akan menjadi majikan atau dengan kata lain menjadi penguasa.
Maka dari itu bermulalah penderitaan manusia. Pada dasarnya hal-hal yang
mirip dengan kedaan sedemikian dapat dilihat dalam praktikal kehidupan
sehari-hari kita. Contohnya kedua ibubapa sering mengatakan dirinya sangat
mencintai anak-anaknya, seringkali berubah menjadi diktator kepada anak-anaknya.
Mereka mahu membentuk anak-anak itu mengikut kemahuanya sendiri.
Anaknya mesti menjadi seorang doktor agar hidupnya kelak tidak sia-sia dan
mempunyai masa depan yang baik meskipun si anak merayu mahu memilih jurusan
dalam bidang kesastrawan atau mungkin bidang-bidang lain yang sangat jauh
bezanya dari bidang kedoktoran. Inilah salah satu konflik yang banyak terjadi
dalam masyarakat kita. Bila hal-hal ini terjadi, kebanyakkan dari orang tua akan
mengunakan kuasa veto' mereka kepada si anak tadi supaya harus mengkuti
kemahuanya. Dalam hal ini, kebahagiaan siapakah yang ingin diwujudkan?
Kebahagiaan ibu bapa atau kebahagiaan anak?
Dalam akhbar harian atau tabloit mingguan seriang kita membaca tentang berita
ada seorang lelaki yang telah beristri mencintai seorang gadis yang masih dara.
Lalu cinta si lelaki tadi berbalas. Akan tetapi apabila istri kepada si lelaki
tadi mengetahui bahawa suaminya mencintai wanita lain yang masih muda jelita apa
lagi ianya masih dara, berkobarlah rasa bencinya dan dengan begitu tega membunuh
si wanita jelita yang dicintai suaminya itu.
Insting cintanya telah berubah menjadi insting merosakan dan membenci, kerana
lelaki yang telah mempunyai istri tadi ingin memiliki si gadis bagi kesenanganya
sendiri. Boleh jadi juga si istri yang sebelum itu sangat mencintai suaminya
akan turut sama membunuh suaminya kerana cintanya telah bertukar menjadi benci
dengan mendadak.
Ada juga sebuah sekolah yang sangat ingin menjadi sekolah terbaik dalam
negeri itu bahkan sangat ambisi untuk menjadi salah satu dari 10 buah sekolah
yang terbaik dalam negara dengan tingkat kedisiplinan yang tinggi yang secara
luaranya sangat terpuji. Maka demi ambisinya itu pemimpin sekolah tersebut sama
ada Pengetua atau Guru Besar termasuk guru-guru pengajar menjadi diktator atas
murid-muridnya. Dijalankan disiplin yang keras dan berunsur paksaan untuk
belajar di luar kewajaran. Hari-hari murid, di sekolah atau dirumah, harus diisi
dengan belajar dan belajar. Murid-murid dijadikan korban atas ambisi dan
cita-cita sekolah.
Dari episod-episod diatas dengan mudah kita membuat kesimpulan betapa insting
cinta boleh berubah menjadi insting benci jika disertai niat menguasai.
Ajaran-ajaran moral terbesar dalam sejarah umat manusia selalu menekankan
adanya kasih sayang, cinta antara sesama manusia. Cintailah orang lain seperti
saudaramu, meskipun ia berlainan budaya, berlainan kelas sosial, berlainan
bangsa, berlainan negara, berlainan agama, usia, keturunan hingga berlainan
taraf kehidupan.
Cinta menyatukan, mendamaikan, membahagiakan dan menyenangkan. Kebencian pula
melahirkan konflik, kekerasan, perosakan, kebinasaan dan kehancuran umat
manusia.
Seperti yang dikatakan Freud, naluri cinta itu berubah menjadi benci kalau
disertai dengan nafsu ingin memiliki, iaitu dijadikan objek yang dicintai itu
sebahagian dari kebahagiaan dirinya sendiri. Pemikiran ini dikembangkan oleh
Erich Fromm dalam bukunya yang terkenal To Have and To Be (Memiliki Dan
Menjadi).
Cara hidup ingin memiliki sebenarnya adalah naluri cinta yang berakhir dengan
penderitaan, kerosakan, kebinasaan sehingga kematian dari yang dicintai. Cara
hidup menjadi inilah hakikat cinta manusia yang sesungguhnya.
Kita mencintai seseorang bukan demi kepentingan semata-mata, tetapi demi yang
kita cintai agar tumbuh dan berkembang mencapai kebahagiaanya sendiri. Dengan
menolong orang lain, kita menjadi seorang penolong. Dengan memberi kepada orang
lain, kita akan tumbuh menjadi seorang pemberi. Dengan melakukan kebaikan
terhadap orang lain, diri kita akan tumbuh menjadi orang baik.
Nafsu ingin memiliki ini pula berpusat pada kepentingan diri sendiri. Dengan
memiliki kita akan menguasai dan bebas mempergunakan kepemilikan kita untuk
kebahagian kita sendiri.
Dalam cara mencintai dan cara hidup ini, maka harus ada yang manjadi korban
kepemilikan. Anak menjadi korban kepemilikan ibubapa, si gadis menjadi korban
nafsu seksualiti lelaki beristri, murid-murid menjadi korban atas pemburuan
ranking nasional. Dari hal demikian, siapakah yang sebenarnya bahagia? Kita
mencintai anak-anak kita justeru kerana sedar bahawa mereka adalah manusia
dengan karakter dan bercita-cita lain dan tidak sama dengan kita sebagai
ibubapanya. Kewajipan cinta kita pada mereka adalah membantu mewujudkan apa yang
di inginkan dan apa yang boleh membantu mereka bahagia oleh kita kepada mereka
yang kita cintai.
Mencintai , menolong, membantu, berbuat baik kepada orang lain boleh berubah
menjadi tindakan diktator dan berakhir dengan jatuhnya korban percintaan, kalau
kondisi dan keperluan yang kita cintai tidak di perhitungkan. Mencintai orang
lain, berbuat baik untuk orang lain, ternyata tidak semudah yang kita duga.
Mencintai dan berbuat baik itu bukan sekedar niat dan tindakan, tetapi juga
dengan pengenalan, pengetahuan, pengorbanan, strategi terhadap yang kita cintai
dan yang paling utama adalah keikhlasan mencintai tampa ada mempunyai rasa ingin
memiliki terhadap sesuatu yang kita cintai itu. Kalau tidak demikian, maka cinta
boleh menjadi malapetaka bagi yang kita cintai itu.
Kalau anda jatuh cinta, anda ingin tahu secara terperinci hidup orang yang
anda cintai. Misalnya ketika pertama kali bertemu dalam kereta api atau dalam
bas dalam sebuah perjalanan yang panjang. Bagaimana riwayat hidupnya,
keluarganya, bintang horoskopnya, kesihatanya, cita-citanya dan lain-lain dalam
erti kata hal-hal yang terpenting dalam hidupnya. Dan anda mempergunakan taktik
melalui informasi itu untuk menyusun strategi bagaimana lebih jauh menaklukan
hatinya.
Kalau kita mencintai orang miskin, orang menderita stres (dalam tekanan),
orang kena musibah, orang yang sedang bingung, maka kita harus berbuat yang sama
sepertinya dan turut merasakan betapa anda simpati dan ingin membahagiakannya.
Surat Einstein kepada Freud menyangkut hal-hal berkenaan dengan perang dan
penderitaan serta membuat beberapa andaian kemungkinan lenyapnya spisis bernama
manusia akibat perang dimuka bumi ini. Konflik kepentingan, kepemilikan,
pemusnahan adalah naluri kebencian manusia. Seperti cinta, manusia juga harus
mengenali, memahami dan merasakan akibat kebencian terhadap orang lain.
Dannion Brinkley yang menceritakan pengalaman mati sehingga dua kali dalam
bukunya yang bertajuk Saved By The Light, mengisahkan bagaimana dirinya merasa
rendah dan hina oleh kejahatan-kejahatanya memukuli orang lain semasa hidupnya.
Ia bukan sahaja ingat secara terperinci akan perbuatanya, tetapi juga suasana
dan perasaan si korban semasa dia menganiayanya. Dengan mengenali dan merasakan
akibat kejahatanya, jiwa Brinkley menilai perbuatanya sendiri yang tidak baik
itu. Mengenali dengan baik penderitaan, kebahagiaan, keinginan, kekuatan dan
kelemahan yang kita cintai atau kita benci, kiranya dapat mengajar dan
memberikan keinsafan kepada kita agar kita mencintai orang lain dengan lebih
baik dan benar.
Mencintai sesama manusia itu tidak semudah yang difikirkan.
Lebih mudah untuk ditulis dan dihuraikan serta dianalisis dari dijalankan atau
di praktikalkan. Sebab cinta itu perbuatan nyata tetapi juga tidak nyata. Kerana
ia melibatkan perasaan yang disertai dengan niat yang baik. Dan niat itu juga
haruslah dibekali dengan keikhlasan dari keinginan untuk memiliki dan menguasai.
Dan perasaan serta perbuatan itu hanya ada dalam diri si pencinta dan yang
dicinta. Maka pengetahuan dan pengenalan ketiga unsur cintai itu harus di fahami
sebelum terlibat dengan apa yang dinamakan CINTA.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar